Berita Harian
Malay  |  English

 

Syarikat terus hasilkan kad Hari Raya
Oleh Norhaiza Hashim

cards image

KOLEKSI TERBARU: Cik Masturah menghasilkan 15 rekaan koleksi

kad Hari Raya baru tahun ini. -- Foto MASTURAH SHA'ARI
original

Kelikkan gambar
untuk melihat cerita
di Berita Harian

 

TRADISI mengirim kad Hari Raya kian luput dengan adanya kad elektronik yang lazim digunakan sekarang.

Bagi seorang pereka kad, Cik Masturah Sha'ari, beliau merasakan tradisi itu wajar diteruskan agar ia tidak hilang pada masa depan.

Hasil kreativitinya, pemilik Sejati Cards itu menghasilkan 15 rekaan kad Hari Raya yang memaparkan ciri-ciri keislaman, geometrik, Persian dan bunga-bungaan.

Koleksi kad Hari Raya itu menambah kepada koleksi kad Hari Raya bertema kampung dan masjid yang diperkenalkan tahun lalu.

'Mengirimkan kad elektronik sudah menjadi kelaziman. Tetapi saya, sebagai pereka, masih mencintai seni kraf kertas dan menghargai rekaan yang baik.

'Melihat kad-kad Hari Raya yang ada di pasaran juga, saya merasakan kita boleh memperbaiki lagi mutunya agar tradisi mengirimkan kad ini tidak pupus,' kata beliau.

Berdasarkan pengalamannya, sambutan bagi kad-kad Hari Raya masih baik, terutama daripada syarikat- syarikat korporat yang mahu mengirim kad untuk pelanggan.

Tahun lalu, koleksi kad Hari Raya Sejati Cards mendapat sentuhan suami Cik Masturah, Encik Jeffrey Wandly, seorang pengarah projek yang juga arkitek, yang melukis sendiri gambar- gambar bertema kampung dan Masjid Sultan.

Encik Jeffrey sendiri pernah membuat ilustrasi bagi wanita-wanita terkenal seperti Aung San Suu Kyi dan Permaisuri Rania dari Jordan bagi laporan Women In Asia dalam majalah Asian GeoGraphic.

Kesemua kad Sejati Cards menggunakan kertas bercap mesra alam.

Selain kad Hari Raya, Sejati Cards menghasilkan kad lain seperti undangan majlis perkahwinan dan hari lahir.

Beliau pernah mendapat tempahan membuat kad undangan perkahwinan daripada pelanggan sejauh Sweden dan Australia yang mengetahui hasil kerjanya melalui laman web Sejati Cards di (www.sejaticards.com).

Cik Masturah, ibu tiga orang anak, memiliki Design Maya yang membuat projek rekaan bagi identiti korporat dan pemasaran.

Khidmatnya pernah digunakan oleh pelanggan syarikat berbilang negara seperti Bosch dan Gulf Air, serta syarikat setempat seperti Pan Malayan dan The Blue House Nursery.

Hasil seninya sebagai seorang ilustrator pernah dimanfaatkan oleh siri buku Asian Arts & Crafts for Creative Kids dan Book & Paper Kits yang diterbitkan oleh Tuttle dan My Day at the Istana terbitan Ant Worldwide bagi Istana Singapura.

Sempena Ramadan ini, Sejati Cards akan menyumbang 30 sen bagi setiap pembelian kad Hari Raya berharga $2.90 bagi koleksi tahun ini dan $3.60 bagi koleksi kampung dan masjid kepada The Straits Times (ST) School Pocket Money Fund, yang membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Copyright © 2010 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne