Berita Harian
Malay  |  English

 

Rekaan 'terpapar' di seluruh dunia

Ciptaan wanita Melayu dipakai syarikat MNC sejauh Amerika, Britain, Timur Tengah, Afrika
Oleh Norhaiza Hashim

cards image

BERI KELAINAN: Selain membuat rekaan bagi pelanggan korporat, Cik Masturah juga membuat rekaan kad-kad jemputan kahwin berdasarkan corak batik, kerongsang dan motif Melayu. Gambar sisipan ialah antara rekaan dan ilustrasi yang pernah beliau hasilkan.

original

Kelikkan gambar
untuk melihat cerita
di Berita Harian



REKAAN dan ilustrasinya telah 'menjelajah' seluruh dunia.

Begitulah kecemerlangan daya kreatif Cik Masturah Sha'ari, pemilik Design Maya, sehinggakan khidmat rekaannya diperlukan oleh syarikat berbilang negara (MNC) sejauh Amerika Syarikat, Britain, Timur Tengah dan Afrika.

Pencapaiannya begitu menggalakkan – daripada membuat ilustrasi bagi syarikat penerbitan Amerika Syarikat, Tuttle Publishing, untuk siri buku Asian Arts & Crafts For Creative Children dan Origami Kit, yang dipasarkan di seluruh dunia, sehingga kepada membuat rekaan halaman depan dan dalam bagi majalah telekomunikasi, Middle East & Africa Communications, untuk syarikat penerbitan berpusat di Britain, Interact Group.

Kemahirannya juga terletak pada rekaan identiti dan logo korporat seperti identiti pemasaran Gulf Air, rekaan beg cenderahati syarikat Lucent dan laman e-pembelajaran bagi kakitangan syarikat kiriman pantas, DHL.

'Dalam memenuhi cita rasa pelanggan antarabangsa, saya perlu memahami keperluan korporat mereka, melengkapi diri saya dengan maklumat pasaran dan industri serta menjalankan kajian demi menghasilkan rekaan yang baik,' kata Cik Masturah, yang mempunyai pengalaman 13 tahun dalam bidang rekaan.

Anak bongsu mantan Anggota Parlimen (AP), Encik Sha'ari Tadin, itu ingin mendalami bidang seni dari awal lagi tetapi didorong bapanya untuk meneruskan pelajaran dalam bidang ekonomi di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Hanya setelah beliau bekerja, Cik Masturah mengambil diploma sambilan dalam bidang Rekaan Komunikasi di Kolej Seni LaSalle-SIA.

Selain memenuhi permintaan pelanggan korporatnya, Cik Masturah telah mengembangkan perniagaannya kepada rekaan eksklusif kad-kad jemputan kahwin, Sejati Cards.

Beliau berkata semakin ramai pasangan tidak keberatan untuk berbelanja lebih tinggi bagi mendapatkan kad bermutu yang lebih eksklusif.

Sejati Cards mengenakan harga $1-$3 bagi sekeping kad, bergantung kepada rekaan dan untuk tempahan minimum 500 kad.

Beliau masih ingat tentang pakar tembikar, Encik Iskandar Jalil, yang ingin mendapatkan khidmatnya bagi kad perkahwinan anak lelaki beliau.

'Saya membuat kajian terlebih dahulu untuk mengetahui cita rasa dan rekaan yang digemari Encik Iskandar. Sebagai pakar tembikar, beliau gemarkan tekstur. Lantas kad itu mempunyai tekstur dan perkataan yang dicetak timbul. Alhamdulillah, beliau amat gembira dengan rekaan kad itu,' kata Cik Masturah, ibu dua anak yang mendapat sokongan padu suaminya, Encik Jeffrey Wandly, seorang pengarah di firma pemaju hartanah, Napier Properties Pte Ltd.

Untuk mengetahui khidmat beliau, sila lungsuri www.design-maya.com dan www.sejaticards.com.

Copyright © 2008 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne